Ahmad melakukan lawatan meninjau bangunan daif di SK Kampung Melayu, Kluang, hari ini

KLUANG – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.126 bilion untuk 77 projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah seluruh negara bagi 2023 dan 2024.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, semua projek berkenaan adalah bawah kendalian Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKM).

“Daripada jumlah itu, 46 projek pembinaan semula dilakukan pada tahun 2023 dengan perbelanjaan berjumlah RM541.8 juta manakala 31 projek bagi tahun 2024 menelan kos RM548.7 juta.

“Bagi projek tahun 2023 terbahagi kepada beberapa fasa iaitu lapan untuk fasa reka bentuk, fasa pembinaan 32 manakala masing-masing dua bagi fasa siap dan perolehan.

“Pembinaan kantin di Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu (SKKM) dan Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 1 adalah merupakan projek-projek pembinaan semula bangunan daif di bawah Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKM).

“Kos yang digunakan untuk membangunkan sebuah kantin, bilik rehat guru dan laluan pejalan kaki di SKKM ini adalah berjumlah RM2.28 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau kerja pembinaan semula bangunan daif di Sekolah Kebangsaan  (SK) Kampung Melayu, di sini, hari ini.

Ahmad Maslan berkata, projek yang bermula 18 Julai baru-baru ini dijangka siap sepenuhnya pada November 2025 dan perjalanan kerja pembinaan sudah mencapai tiga peratus iaitu awal enam hari daripada waktu ditetapkan.

Ujarnya, apabila siap nanti, keluasan kantin itu akan mampu menampung 400 murid iaitu bersamaan satu sesi persekolahan dengan jumlah keseluruhan pelajar seramai 873 orang.

“Turut dilakukan dalam kerja pembinaan semula ini adalah kerja-kerja elektrikal dan mekanikal seperti pemasangan paip air sejuk dalaman, paip kumbahan, pengudaraan dan sistem pemadaman kebakaran,” katanya. – MalaysiaGazette