KUALA LUMPUR – Syarikat antarabangsa termasuk dari Korea dan Jepun merupakan antara pelabur terawal dalam syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. yang ditubuhkan di bawah kerjasama empat negeri pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. juga dalam perbincangan untuk membawa masuk pelaburan daripada China.
Jelas beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, syarikat itu merupakan entiti korporat untuk menyelaras dan membawa masuk pelaburan-pelaburan baharu rentas negeri SG4.
Tambahnya, pembangunan negeri-negeri Pantai Barat yang menuju ke arah saturasi dan kekangan sumber membuka ruang kepada negeri-negeri SG4 yang masih memiliki zon industri lebih luas dan kos lebih efektif untuk menarik pelaburan-pelaburan berpotensi tinggi.
“Entiti korporat ini dimiliki dengan pegangan hakmilik yang sama rata setiap negeri dan berkerjasama dengan GLC sedia ada.
“Keberhasilan kerjasama SG4 adalah peningkatan kesejahteraan hidup rakyat menerusi pentadbiran yang berintegriti dan cekap, kewangan yang kukuh, sosioekonomi yang mampan, serta pembangunan lestari yang berimpak tinggi.
“Secara langsung, agenda ini akan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang Kemuncak SG4 di Bangi, dekat sini, hari ini.
Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri atau State Government 4 (SG4) menjadi platform kerjasama antara Kerajaan Negeri Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis dengan pihak-pihak berkepentingan ke arah pembangunan sosio ekonomi rakyat negeri-negeri berkenaan.
Kerjasama itu termasuk dengan sektor awam, swasta, pelabur tempatan dan antarabangsa serta pihak berkepakaran dalam pelbagai bidang.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, entiti korporat SG4 ketika ini masih lagi dalam proses untuk ditentukan dari segi pengurusan syarikat memandangkan baru ditubuhkan.
Sementara itu, ditanya berkenaan sasaran pelaburan yang mahu dicapai menerusi SG4, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu akan diumumkan apabila pihaknya mencapai satu jumlah pelaburan yang realistik.
Kepada soalan sama ada SG4 akan membuka penyertaan kepada negeri-negeri lain sekiranya ada yang berminat, beliau berkata, buat masa ini tumpuan hanya diberikan untuk memperkasakan empat negeri pembangkang sedia ada terlebih dahulu. – MalaysiaGazette
Terus maju, kekal bersatu membina ekonomi baharu