MELAKA – Kerajaan negeri memuji dan menggalakkan lebih ramai pelabur menerapkan elemen kombinasi budaya dan nilai warisan melalui reka bentuk bangunan sebagai tarikan pelancong selain memasarkan produk semata-mata.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu telah pun dimulakan rangkaian pasar raya Jaya Grocer melalui pembukaan cawangannya yang ke- 51 di Malaysia dan pertama di Melaka di Taman Tarcor, Klebang.
Menurutnya, reka bentuk bangunan itu menggunakan elemen Peranakan dan motif bunga baju kebaya Melaka sebagai reka bentuk bagi beg barangan runcit dan beg pendinginan.
“Ini mencerminkan budaya dan nilai-nilai warisan yang ada di Melaka ini yang mana kita lihat bahawa kebanyakan ikon-ikon ini menunjukkan Peranakan sudah lama berada di Melaka.
“Jadi saya mengharapkan kombinasi-kombinasi budaya Melayu, Cina dan India ini semua ada dalam Jaya Grocer ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan pasar raya tersebut di Klebang di sini. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer Adelene Foo.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, pembukaan pasar raya premium itu dengan pelaburan kira-kira RM10 bilion sekali gus mempelbagaikan lagi landskap sektor peruncitan di Melaka dan merancakkan ekonomi tempatan.
“Pembukaan cawangan pertama di Melaka ini juga akan membuka peluang pekerjaan baharu dan memperkukuhkan kedudukan Melaka sebagai hab perdagangan dan komuniti progresif.
“Dengan wujudnya pusat perniagaan baharu di kawasan zon ekonomi baharu Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) ini, ia mencerminkan rakyat Melaka akan dapat menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette