Universiti Teknologi MARA (UiTM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Al Kauthar Eduqids Sdn Bhd yang diwakili oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Al Kauthar Eduqids, Datuk Bakhtiar Aliff Ibrahim (dua kanan) di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 02 SEPTEMBER 2024.

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Al Kauthar Eduqids Sdn Bhd bagi memperkukuhkan peranan dan mentransformasikan pendidikan awal kanak-kanak di negara ini.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, ia dilaksanakan menerusi Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) yang menjadi tonggak utama dalam merealisasikan program berkenaan.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib.

“Kerjasama strategik ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pendidikan awal kanak-kanak merangkumi aspek pengurusan harian, penyediaan bahan pembelajaran, pemahaman mendalam mengenai perkembangan psikologi serta emosi kanak-kanak.

“Antara inisiatif utama yang bakal dijalankan adalah pertukaran tenaga pengajar dan kakitangan, pembangunan sijil profesional untuk guru tadika atau taska serta kursus latihan untuk meningkatkan kompetensi guru-guru sedia ada.

“Selain itu, pihak pengurusan pusat pendidikan awal kanak-kanak turut diberikan latihan pengurusan yang lebih komprehensif bagi memastikan operasi pusat ini berjalan dengan lancar dan efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MoU Transformasi Pendidikan Kanak-Kanak bersama Al Kauthar Eduqids di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Al Kauthar Eduqids, Datuk Bakhtiar Aliff Ibrahim memaklumkan, pihaknya bakal menyediakan geran khas sebanyak RM50,000 kepada pihak UiTM.

Ketua Pegawai Eksekutif, Al Kauthar Eduqids, Datuk Bakhtiar Aliff Ibrahim.

Katanya, ia sebagai peruntukan untuk kajian berkaitan pendidikan kanak-kanak termasuklah penyakit autisme, disleksia dan sindrom down kepada Fakuliti Sains dan Kesihatan (FSK) UiTM.

“Kita percaya sinergi ini berupaya meningkatkan kesedaran awam dalam kalangan ibu bapa mengenai perkembangan anak masing-masing menerusi latihan yang disediakan.

“Berbekalkan pengalaman selama 10 tahun, kami selaku pusat pendidikan yang mempunyai 235 cawangan seluruh negara akan terus komited dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi untuk kanak-kanak peringkat awal.

“Kedua-dua pihak yakin  ia mampu menjadi pemangkin kepada lebih banyak hubungan strategik pada masa depan, seterusnya memberi impak kepada industri pendidikan tanah air,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast