Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ketika sesi sidang media pada Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kelebang, Chemor, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 SEPTEMBER 2024.

IPOH – Pergerakan Wanita UMNO telah menyerahkan senarai tiga nama calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota untuk mewakili Barisan Nasional (BN) kepada pimpinan tertinggi parti tersebut.

Ketuanya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pihaknya sudah mengemukakan calon tetapi semuanya akan diserahkan kepada keputusan kepimpinan UMNO.

“Kita mengharapkan yang terbaik dan sesiapa pun calon yang dinamakan oleh kepimpinan, wanita akan sokong dan akan membantu sebaik mungkin untuk memenangkan calon tersebut.

“Kalau calon itu dari wanita, kita akan mengalu-alukan.

“Setakat ini, kita sudah mengemukakan calon tetapi akhirnya keputusan kepimpinan mengambil kira pelbagai faktor dan kita mengharapkan yang terbaik.

“Apa yang penting Barisan Nasional (BN) menang di DUN Mahkota,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak 2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kelebang, Chemor, di sini pada Isnin.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia pada 2 Ogos ketika dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini hingga 2 Ogos lalu, DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Manakala pecahan antara kaum di DUN Mahkota berbeza di mana pengundi Melayu lebih kurang 54 peratus, Cina 35 peratus dan India lebih kurang lapan peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast