Rita Rudaini bergambar dengan Airit Rayan Rizqin (tengah). Foto IG Rita Rudaini.

KUALA LUMPUR – Pelakon Rita Rudaini meluahkan rasa marah apabila satu artikel  menggunakan tajuk ‘anak legenda JDT’ mengenai pencapaian anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Selangor (MSSS) 2024, baru-baru ini.

Ibu tunggal dua anak itu mempertikaian tindakan portal tersebut yang menggunakan tajuk tersebut bagi berita mengenai anak lelakinya itu.

“Aku penat bela dari kecil, tiba-tiba tajuk ‘anak legenda JDT’. Kepala otak hang!

“Saja nak viral cara jahat,” tulis Rita di Instagram miliknya di sini.

Pelakon filem Anak Mami itu turut mempersoalkan siapakah legenda yang dimaksudkan portal tersebut.

“Sapa legenda JDT tu? Apa kaitan dengan anak yang aku jaga? Tajuk bodoh,” tulisnya lagi.

Terdahulu, sebuah portal membuat berita dengan menggunakan tajuk ‘Detik jadi pemisah, anak legenda JDT terkandas di separuh akhir MSSS 2024’.

Sebelum ini, Airit Rayyan Rizqin tidak berhasil meneruskan perjuangannya dalam acara 100 meter (m) kategori L4 di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Selangor (MSSS) 2024 apabila gagal melayakkan diri di pusingan kelayakan.

Baru-baru ini, dia mencipta sensasi apabila mencipta tiga rekod baharu di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) di Sabak Bernam.

Untuk rekod, Airit Rayyan adalah anak hasil perkahwinan Rita dengan bekas pemain bola sepak negara dan JDT iaitu Aidil Zafuan Abd. Razak. pada 2008.

Bagaimanapun ikatan perkahwinan mereka berakhir dengan penceraian pada September 2013.

Selain Rayan, mereka turut dikurniakan seorang lagi anak lelaki iaitu Airit Qaqa Arjuna, 13 tahun. – MalaysiaGazette