MELAKA – Polis Melaka menafikan dakwaan yang tular mengenai keadaan tidak selamat bangunan sementara Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Batu Berendam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, dakwaan itu dikesan melalui aplikasi Telegram dan TikTok sejak semalam.
“Bangunan sementara ini disahkan selamat digunakan dan turut mempunyai Sijil Kesempurnaan Menduduki (CF) daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak 2003.
“Ia juga kini 96 peratus dibaik pulih oleh pihak kontraktor untuk dijadikan ruang pejabat bagi memastikan kesediaan IPD Melaka Tengah beroperasi sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Zainol berkata, susulan dakwaan itu, satu laporan polis sudah dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dan menyebarkan berita tidak berasas serta tidak ditentukan kesahihannya.
“Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati mengeluarkan kenyataan bebaur hasutan dan fitnah dalam mana-mana platform media sosial,” katanya.
Tambahnya, perpindahan IPD Melaka Tengah ke bangunan itu hanyalah bersifat sementara sebelum kompleks baharu IPD berkenaan dibina.
“Cadangan pembinaan Kompleks IPD Melaka Tengah yang baharu tetap diteruskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Rolling Plan Ke-5,” katanya.
Terdahulu tular dakwaan kononnya daripada warga IPD Melaka Tengah di Banda Hilir dihalau dari bangunan berusia 100 tahun itu dan dipindahkan ke bangunan berkenaan yang tiada CF serta tidak dilengkapi kemudahan lain. – MalaysiaGazette