Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan penentangan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) terhadap langkah menempatkan pegawai agama di semua jabatan kerajaan boleh menyebabkan kesan yang serius.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hasan berkata, tindakan itu merupakan cabaran terhadap hak orang Islam untuk mengamalkan agama mereka dengan bebas.

Selain itu, katanya, ia juga merupakan cabaran terhadap hubungan baik dan keharmonian dalam masyarakat serta menimbulkan persoalan berkenaan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Dalam konteks kebebasan orang Islam untuk mengamalkan agama mereka, sama seperti bantahan terhadap cadangan pindaan Akta 355, MCCBCHST sekali lagi menunjukkan sikap melampau dan angkuhnya untuk campur tangan dalam urusan orang Islam dengan membuat tafsiran serta menentukan ajaran Islam mana yang harus berada “di ruang awam” dan sebaliknya.

“Dengan berselindung di belakang tafsiran undang-undang yang tersasar dan separuh masak, MCCBCHST seolah-olah mahu berperanan sebagai hakim dan pendakwa sekali gus untuk menentukan tafsiran dan amalan agama orang Islam yang tidak berkaitan sama sekali dengan kedudukan dan peranannya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah Takiyuddin, bantahan MCCBCHST itu jelas dibuat atas premis yang salah berdasarkan rujukan serta tafsiran undang-undang yang separuh masak, tidak tepat dan sewenang-wenang.

Malah, tidak keterlaluan katanya, rujukan dan tafsiran sumbang undang-undang yang dikemukakan pertubuhan itu hanya topeng untuk menyembunyikan wajah serta niat sebenarnya yang lebih gelap dan berbahaya.

“Dalam kedua-dua kes bantahan ini (penempatan pegawai agama dan Akta 355), MCCBCHST jelas menunjukkan sikap Islamofobianya berserta naratif sumbang untuk menggambarkan bahawa sebarang langkah dan usaha untuk menambah baik kedudukan dan pengamalan Islam di negara ini merupakan “ancaman” terhadap hak dan kebebasan orang bukan Islam,” katanya.

Sehubungan itu, tegas Takiyuddin, Pas menggesa MCCBHST menarik balik kenyataan yang disifatkan tidak berhemah itu memandangkan langkah kerajaan tersebut adalah murni ke arah menyelaras dan menyeragamkan dasar dan program agar lebih selari dengan prinsip Islam.

Langkah itu juga, katanya, tanpa mengabai atau melanggar hak serta kebebasan orang bukan Islam yang bukan sahaja dijamin oleh Perlembagaan, malah terpelihara menurut ajaran Islam sendiri.

Dalam masa sama, ujarnya, Pas mahu MCCBHST kembali kepada peranan asalnya sebagai badan perundingan antara agama dengan tujuan yang murni ke arah persefahaman dan keharmonian hubungan antara kelompok-kelompok agama di Malaysia.

“MCCBHST juga perlu kembali menyuburkan amalan beragama dalam kalangan rakyat sebagai benteng terhadap kecenderungan buruk yang boleh merosakkan, bukannya menjadi barisan depan atau jurucakap kepada mana-mana kumpulan, aliran atau ideologi politik yang boleh memecahkan kerukunan hidup bersama,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, MCCBCHST menyuarakan bantahan mengenai laporan yang menyatakan bahawa pegawai daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan ditempatkan di jabatan kerajaan bagi memastikan keputusan selaras dengan prinsip Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast