KUALA LUMPUR – Bantuan guaman antara kaedah terbaik membolehkan semua lapisan masyarakat mendapat akses dan layanan sama rata dalam menuntut keadilan di mahkamah.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, status sosio-ekonomi dan kemampuan kewangan lazimnya menjadi penghalang kepada seseorang itu untuk mendapat representasi undang-undang dalam institusi kehakiman.
“Keadilan adalah asas kepada masyarakat kita, mesti boleh diakses secara universal. Ia tidak boleh menjadi hak keistimewaan yang dikhaskan semata-mata untuk golongan elit, kaya dan berkuasa.
“Keadilan dan kedaulatan undang-undang melangkaui status sosio-ekonomi. Walaupun akses kepada keadilan adalah hak asasi, namun ia tidak datang dengan murah.
“Tidak semua orang mempunyai kemampuan kewangan untuk mendapatkan representasi undang-undang bagi membentangkan kes mereka dengan berkesan di hadapan penimbang tara yang tidak berat sebelah,” katanya dalam ucaptama Konvensyen Bantuan Pelajar Undang-Undang Malaysia di Lembaga Penasihat Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) hari ini.
Menurut Tengku Maimun, jurang fizikal yang merujuk kepada jarak geografi antara masyarakat dan institusi keadilan khususnya di kawasan luar bandar atau terpencil menyukarkan seseorang mendapatkan akses keadilan.
“Terdapat akses kepada keadilan terhad kerana ketiadaan infrastruktur kehakiman,” katanya.
Menurut beliau, jurang sumber yang berkaitan dengan kos tinggi menghalang individu yang berpendapatan rendah daripada mendapat prosiding undang-undang yang sama rata.
“Ketidaksamaan ekonomi ini sering menyebabkan keadilan tidak dapat dicapai oleh anggota masyarakat termiskin menyebabkan mereka terdedah kepada eksploitasi dan tidak dapat mempertahankan hak mereka,” katanya.
Selain itu, katanya, jurang celik huruf atau kekurangan pengetahuan dan pemahaman tentang hak dan prosedur undang-undang dalam kalangan masyarakat yang terpinggir serta tahap pendidikan rendah menyukarkan mereka memperoleh keadilan.
“Jurang ini menghalang individu daripada mencari keadilan kerana mereka mungkin tidak tahu ke mana untuk mendapatkan bantuan atau bagaimana memperjuangkan hak mereka,” katanya.
Justeru bantuan guaman memainkan peranan penting dalam merapatkan ketiga-tiga dimensi jurang keadilan.
“Ia memastikan tiada individu yang terkecuali daripada perlindungan undang-undang kerana halangan geografi, ekonomi atau pendidikan.
“Dalam erti kata lain, akses kepada bantuan guaman diterjemahkan kepada akses kepada keadilan untuk golongan miskin, terpinggir dan kurang bernasib baik.
“Oleh itu, bantuan guaman berfungsi sebagai asas kepada sistem keadilan yang adil, berperikemanusiaan dan cekap yang berasaskan kedaulatan undang-undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette