Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bercakap kepada media selepas majlis Malaysian Law Students Legal Aid Convention 2024 di Asian International Arbitration Centre (AIAC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan undang-undang yang sesuai berkaitan perkhidmatan bantuan guaman di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia bertujuan untuk memberikan kesaksamaan kepada rakyat Malaysia apabila dihadapkan ke mahkamah.

“Kerajaan juga ada peranan, saya sudah dapat mesej daripada penganjur dan saya akan sampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Harap-harap kita dapat jadi pemudah cara dan merangka perundangan yang sesuai dengan keperluan pada masa ini dan masa depan berhubung kait dengan bantuan guaman ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Konvensyen Bantuan Pelajar Undang-Undang Malaysia di Lembaga Penasihat Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

Beliau berkata, kerajaan memberi jaminan hak rakyat Malaysia untuk mendapatkan perbicaraan adil dan saksama menerusi bantuan khidmat guaman perlu dipertahankan.

“Peranan peguam dan kerajaan supaya tiada rakyat kita yang akan hilang hak dari segi perwakilan perundangan apabila mereka dihadapkan di mahkamah dan sebagainya.

“Ini sesuatu yang perlu kita perjuangkan supaya hak kesaksamaan dalam perundangan ini diberi kepada setiap rakyat kita,” katanya.

Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan untuk membawa cadangan pengecualian cukai kepada peguam yang memberikan perkhidmatannya secara pro bono.

“Permohonan pengecualian cukai kepada mana-mana peguam yang memberi khidmat pro bono dalam memberi khidmat wakil perundangan kepada mana-mana pelanggan mereka yang memerlukan dan layak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast