HONG KONG – Syarikat penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific telah memberhentikan sementara operasi pesawat A350nya untuk pemeriksaan selepas kegagalan komponen enjin “yang pertama dari jenis itu” selepas pesawat berkenaan berpatah balik ke Zurich pada Isnin.
“Cathay sedang menjalankan pemeriksaan ke atas 48 pesawat Airbus A350 lantaran itu beberapa pesawat tidak boleh beroperasi selama beberapa hari”, kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan, malam Isnin.
Syarikat penerbangan itu telah membatalkan 24 penerbangan pergi balik sehingga Selasa.
Lapan daripada sembilan penerbangan Cathay dari Hong Kong ke Singapura pada Selasa telah dibatalkan, menurut laman web syarikat penerbangan itu.
Penerbangan ke Bangkok, Tokyo, Taipei dan Osaka juga dibatalkan.
Langkah itu dibuat selepas penerbangan Cathay ke Zurich pada Isnin terpaksa berpatah balik dan syarikat itu mengenal pasti kerosakan komponen enjin.
Namun ia tidak menyatakan secara spesifik.
“Komponen ini adalah yang pertama daripada jenisnya yang mengalami kegagalan sedemikian pada mana-mana pesawat A350 di seluruh dunia,” kata syarikat penerbangan itu.
Pengarah kejuruteraan Cathay, Keith Brown berkata, syarikat itu sedang berhubung dengan pihak berkuasa penerbangan Hong Kong serta pengeluar pesawat dan enjin.
“Setiap pesawat sedang menjalani pemeriksaan rapi. Setelah siap, pesawat yang dibenarkan beroperasi manakala mereka yang dikenal pasti mempunyai masalah teknikal akan menjalani kerja pembaikan dan penyelenggaraan selanjutnya.”
Cathay adalah antara pengendali terbesar jet A350 di seluruh dunia.
Pengeluar enjin Rolls-Royce memberitahu Bloomberg News, ia “komited untuk bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan, pengeluar pesawat dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyokong siasatan mereka terhadap insiden ini”. – Agensi