Bahagian belakang sebuah treler yang membawa muatan batu konkrit panjang tertanggal sebelum terbalik di Kilometer 10.7 Lebuhraya Utara Selatan, arah Selatan di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Bahagian belakang sebuah treler yang membawa muatan batu konkrit panjang tertanggal sebelum terbalik di Kilometer 10.7 Lebuhraya Utara Selatan, arah Selatan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian pada pukul 2.35 petang itu menyebabkan muatan berkenaan jatuh atas lebuh raya tersebut.

Beliau berkata, pihaknya mengetahui kemalangan tersebut selepas kejadian berkenaan tular dalam satu Facebook komuniti setempat dan sejurus itu laporan polis dibuat pukul 5.34 petang.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila ekor treler yang membawa muatan batu konkrit panjang telah tertanggal dan terbalik di lorong kiri jalan.

“Keadaan itu menyebabkan muatan batu konkrit tersebut menghalang lorong sebelah kiri jalan dan hanya lorong kanan boleh dilalui kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya, tiada sebarang kecederaan dialami pemandu lori berkenaan yang merupakan lelaki tempatan berusia 26 tahun.

Menurut beliau, kemalangan itu disiasat bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.

Tambahnya, sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Sarian Mohd Shahrizah Mohd Lauri menerusi talian 014-6633283.- MalaysiaGazette
Habis