SEPANG  – Menteri Pengangkutan memberi jaminan pesawat Malaysia Airlines Airbus A350 akan beroperasi seperti biasa susulan operasi pesawat jenis yang sama milik Cathay Pacific dihentikan sejak semalam berikutan kegagalan konponen enjin.

Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana model enjin pesawat A350 milik Malaysia Airlines berbeza dengan Cathay Pacific.

“Saya telah bertemu dengan Malaysia Airlines pagi tadi dan mereka memaklumkan telah memeriksa enjin pesawat terbabit, dan mendapati ia berbeza daripada digunakan Cathay Pacific.

“Mereka juga ada berhubung dengan Airbus, jika ada sebarang tindakan diperlukan, mereka pasti akan mengambilnya. Buat masa ini, pesawat terbabit masih beroperasi seperti biasa,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook merasmikan hotel transit ‘Capsule Transit MAX’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan hotel transit ‘Capsule Transit MAX’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) di sini, hari ini.

Airbus A350-900 milik Malaysia Airlines, versi model yang lebih kecil, menggunakan enjin Rolls Royce Trent XWB-84.

Semalam, syarikat penerbangan Hong Kong itu menghentikan sementara operasi pesawat Cathay Pasific A350 susulan kegagalan komponen enjin yang membabitkan penerbangan ke Zurich pada Ahad lalu.

Menurut data penjejakan penerbangan, pesawat itu terpaksa melakukan dua pusingan sebelum kembali ke Hong Kong di mana ia mendarat kira-kira 75 minit selepas berlepas.

Syarikat penerangan itu juga terpaksa membatalkan 24 penerbangan pergi dan balik, malah beberapa pesawat juga dihentikan perkhidmatan beberapa hari sebagai langkah berjaga-jaga. – MalaysiaGazette