PENERANGAN Jakim berkenaan isu tular status halal restoran popular. - Foto: FB Jakim

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tampil menjawab berkenaan isu halal beberapa premis makanan popular seperti yang tular di laman sosial ketika ini.

Menerusi satu kenyataan di laman sosial Facebook rasmi jabatan itu hari ini, Jakim menjelaskan, lima restoran didapati bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berdasarkan semakan dalam sistem MYeHALAL Jakim.

Katanya, restoran itu adalah Johnny’s Restaurant; Black Canyon; Dolly Dim Sum; Mr. Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw.

Bagaimanapun, tambahnya, semakan semula yang dibuat melalui Portal Halal Malaysia mendapati, empat outlet premis makanan berangkai jenama Ayam Penyet Best mempunyai SPHM yang masih sah.

“Jabatan ini telah mengemukakan semula makluman kepada individu yang bertanya melalui e-mel pada 2 September 2024 jam 11.36 malam iaitu hari yang sama diberi maklum balas atas pertanyaan yang diajukan,” demikian menurut kenyataan itu.

Terdahulu, status halal beberapa restoran popular menjadi perbincangan hangat warga maya ekoran surat Jakim yang tular di media sosial yang turut memasukkan jenama restoran Ayam Penyet Best antara premis yang tidak mempunyai sijil halal.

Dalam pada itu, Jakim menambah, pengguna boleh menyemak sendiri maklumat berhubung status halal mana-mana premis atau produk di Portal Halal Malaysia melalui pautan http://myehalal.halal.gov.my/portal-halal/v1/index.php. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.