Azman Dollah

MELAKA – Lebih 200 pengayuh beca berdaftar di negeri ini bersetuju langkah kerajaan menetapkan peraturan baharu bermula tahun depan namun mahukan cadangan yang mengehadkan umur dan kawasan operasi mereka dikaji semula.

Pengerusi Abang Beca Melaka, Azman Dollah, 58 berkata, pihaknya sudah pun menerima notis makluman peraturan baharu Undang-Undang Kecil (UKK) Beca Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) 2024 yang akan mula dikuatkuasakan Januari tahun depan.

“Kami yang digelar ‘duta’ kecil pelancongan Melaka bersetuju dengan syarat-syarat baharu UKK ini termasuk mempunyai pakaian seragam dan kurangkan ‘volume’ muzik dan pemilihan lagu berkonsepkan irama tradisional.

“Tapi kami juga ada dengar ura-ura MBMB akan mengehadkan operasi kami kepada hanya satu daripada empat kawasan iaitu Bangunan Stadthuys, Kapal Flora de Lamar (Muzium Samudera), Menara Taming Sari dan Kota A Famosa yang tidak dipersetujui jika ia dilaksanakan.

“Maksudnya, beca yang lesen operasinya di Bangunan Stadthuys hanya boleh mengambil pelanggan dari situ dan tidak boleh ambil pelanggan dari kawasan lain begitu juga sebaliknya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurut yang sudah mengayuh beca sejak 19 tahun lalu, syarat lesen sedemikian jika benar, tidak sepatutnya dikenakan memandangkan sudah menjadi kebiasaaan mereka akan bergerak untuk mencari pelanggan antara empat kawasan itu sejak sekian lama.

Kamarudin Jantan

Sementara itu, Kamarudin Jantan, 72, yang mengayuh beca sejak 1979 berkata, syarat baharu UKK Beca MBMB 2024  itu tidak sepatutnya menyekat rezeki warga emas sepertinya.

“Hampir 45 tahun saya bawa beca tak pernah lagi sampai kena buat pemeriksaan kesihatan dan hadkan umur 60 tahun untuk layak ambil lesen walaupun kesihatan dan kudrat saya masih kuat.

“Kalau (MBMB) kata 60 tahun ke atas tak boleh bawa beca, apa pendapatan saya boleh cari? Nak kerja pengawal keselamatan pun tak boleh sedangkan inilah punca rezeki saya untuk bayar sewa rumah,” katanya.

Generasi muda pengayuh beca, Muhammad Faiq Mustapha, 30, berkata, dia bersetuju dengan syarat baharu itu namun mahu segala keputusan diputuskan selepas mendapat pandangan semua persatuan beca di Melaka.

“Apa yang baik semuanya saya sokong tapi perlulah melibatkan persatuan dan bukannya kerajaan ambil keputusan sendiri tanpa mendengar rintihan kami,” katanya.

Lebih 200 pengayuh beca berdaftar di negeri ini bersetuju langkah kerajaan menetapkan peraturan baharu bermula tahun depan namun mahukan cadangan yang mengehadkan umur dan kawasan operasi mereka dikaji semula.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 170 pengayuh beca yang menjadi ikon pelancongan Melaka bakal berwajah baharu pada tahun hadapan.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dilaporkan berkata, mereka akan dipanggil untuk ditemuduga dan disaring pada bulan Oktober sebelum diberikan lesen baharu pada Disember.

Usaha itu bagi menjaga kualiti pengayuh beca termasuk turut menerima pakaian seragam selain menggalakkan pemasangan lagu tradisional berkaitan Melaka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast