KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mencatatkan nilai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM160 bilion dalam tempoh Januari hingga Jun 2024.
Menurut Perdana Menteri, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 18 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jelas beliau yang juga Menteri Kewangan, kesemua pelaburan tersebut melibatkan hampir 3,000 projek baharu yang akan membuka lebih 79,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia
“Pertumbuhan suku kedua Malaysia telah mencapai 5.9 peratus sekali gus menunjukkan ekonomi negara kembali memperlihatkan prestasi cemerlang.
“Perkara itu tidak akan berlaku tanpa kerjasama pelbagai pihak termasuk jabatan-jabatan dan kementerian serta pejabat kerajaan di luar negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 Khazanah Nasional Bhd di MITEC hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut menggesa syarikat swasta lain mencontohi Khazanah Nasional memastikan semua kakitangannya menerima gaji minimum sekurang-kurangnya RM3,100 sebulan.
“Semua syarikat swasta perlu ambil contoh teladan daripada Khazanah Nasional untuk memberi pendapatan yang lebih setimpal kepada kakitangan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Anwar mahu Khazanah Nasional Berhad merangka satu pelan wajah baharu Kuala Lumpur yang mengekalkan warisan sejarah ibu negara tersebut.
Jelas beliau, pelan pembaharuan sebenar yang mengekalkan identiti asal itu merangkumi Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Bangunan Carcosa Seri Negara.
“Sebelum belanjawan Oktober ini, saya mahu pastikan supaya ada gambaran jelas pada negara, kita ada usul untuk memulakan wajah Kuala Lumpur yang tidak terpisah daripada warisan budaya gemilang kita,” katanya. – MalaysiaGazette