Tian Soon (tengah) melawat kawasan Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru, hari ini selepas pencemaran bau dikesan

JOHOR BAHRU – Seramai 60 murid Tabika Kemas Jalan Masjid di Kampung Melayu Pandan, di sini, diarahkan pulang kerana pencemaran bau kimia dikesan di sungai bersebelahan sekolah itu, pagi ini.

Guru sekolah tabika tersebut, Siti Nor Azliza Abdul Aziz, 39, mendakwa, bau pencemaran yang sangat kuat itu meloyakan sehingga menyebabkan pening dan pedih mata.

Dia mendakwa baru tiba di sekolah tersebut pukul 7 pagi tadi dan sudah terhidu bau busuk.

“Selepas subuh kami menerima pesanan ringkas daripada penduduk memaklumkan ada bau kurang menyenangkan dipercayai bau kimia.

“Sebaik tiba, saya dapati baunya amat kuat sehingga susah bernafas dan mata pedih.

“Kami berbincang dengan pengerusi tadika, penyelia dan pihak bomba memandangkan ketika itu sudah ada murid yang tiba. Akhirnya kami membuat keputusan untuk menutup tadika,” katanya ketika ditemui di sekolah tabika tersebut.

Siti Nor berkata, semua murid berusia lima dan enam tahun itu dilaporkan dalam keadaan baik dan diminta pulang segera ke rumah bersama ibu bapa dan penjaga pada pukul 7.30 pagi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Melayu Pandan, Mohd Fauzi Mohamad berkata, sepanjang 50 tahun menetap di situ yang terletak di kawasan bandar raya ini, insiden pencemaran tersebut merupakan kali pertama berlaku.

“Pada pukul 7.30 pagi, saya tengok keadaan sungai air surut tetapi warnanya tidak pernah seumur hidup saya lihat, warna hitam berkeladak dan berminyak.

“Baunya busuk menyengat, siapa yang bau lama akan rasa tekak kering. Penduduk kampung ada tanya mengenai bau ini, saya beritahu Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) dan Jabatan Alam Sekitar sedang lakukan pemeriksaan.

“Bagaimanapun sekitar pukul 10 pagi, bau  sudah kurang disebabkan air sungai pasang,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di kampung itu mendapati, Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan turut ditutup dan murid-murid yang tiba di sekolah pada pukul 1 tengah hari diarahkan pulang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, penutupan tadika dan sekolah agama tersebut dilakukan setelah mendapat nasihat daripada agensi penguatkuasa yang menjalankan pemeriksaan di kampung itu.

Katanya, langkah itu bagi menbendung masalah yang lebih serius iaitu menjejaskan tahap kesihatan pelajar setelah terdedah dengan yang tercemar itu.

“Saya telah berbincang dengan wakil penduduk di kawasan ini dan menasihati supaya sekolah agama di sini ditutup pada hari ini. Ini kerana kita belum kenal pasti lagi bahan apa yang menyebabkan pencemaran udara itu berlaku.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, adalah lebih baik operasi sekolah agama ini direhatkan pada hari ini sementara menunggu laporan siasatan,” katanya.- MalaysiaGazette