Muhammad (kiri) memberitahu Pengerusi Jawantankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon (kanan) di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Penduduk di kawasan kampung dan taman sekitar Kampung Melayu Pandan, di sini, mendakwa mengalami pening kepala dan loya sejak awal pagi ini.

Seorang penduduk Kampung Melayu Pandan, Muhammad Mirzal Abdul Hashim, 42, berkata, pencemaran bau itu disedari pada pukul 4.30 pagi semasa mahu bersiap-siap pergi berniaga.

“Saya terbau yang tidak menyenangkan ketika itu sebelum menghubungi talian 999 dan disambungkan kepada pihak bomba untuk memaklumkan kejadian itu.

“Bomba datang pukul 8.30 pagi untuk melakukan siasatan. Bau macam bau minyak pun ada dan bau gas pun ada tapi memang tidak menyenangkan,” katanya ditemui di kampung itu, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam tadi, tiga kawasan dikesan terjejas dengan pencemaran kimia melibatkan Taman Daya, Mount Austin dan Taman Istimewa.

Muhammad yang berniaga sarapan pagi di kawasan kampung itu berkata, beliau mengambil keputusan tidak berniaga hari ini kerana bimbang dengan risiko pencemaran tersebut.

Penduduk Taman Istimewa, Muhammad Jaafar, 66, mendakwa, terhidu bau busuk pada pukul 12 tengah malam sehingga 4 pagi tadi.

Pesara guru itu yang tinggal kira-kira 300 meter dari Sungai Pandan berkata, pada mulanya dia menyangka bau gas sebelum berpindah dari bilik depan ke bilik belakang.

“Ini pertama kali berlaku dan saya merasa pening kepala dan sesak nafas sebelum menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian itu,” ujar pesara guru itu.

Penduduk Kampung Kangkar Tebrau, Zamri Surip, 67, berharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan terhadap isu pencamaran terbaru itu.

Bapa kepada dua anak itu berkata, ini bagi memastikan insiden seperti tragedi Sungai Kim Kim di Pasir Gidang tidak berlaku di kawasan tersebut yang banyak kawasan kilang. – MalaysiaGazette