Keadaan Sungai Pandan yang berminyak dan kotor sehingga mengakibatkan pencemaran bau di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Sampel air dan tanah di Sungai Pandan berdekatan Kampung Melayu Pandan di sini sudah diambil susulan pencemaran bau kimia yang dilaporkan berlaku di tiga kawasan di situ hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, analisis Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Johor peringkat awal mendapati terdapat kandungan bahan kimia.

Bagaimanapun JPBM masih belum dapat mengenal pasti jenisnya berdasarkan keputusan sampel tersebut.

Tian Soon berkata, sampel kedua bagi mengetahui kandungan dan jenis kimia tersebut akan diambil dengan bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Melaka.

“Keputusannya akan diketahui hari ini. Pasukan teknikal Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor juga akan membawa peralatan bagi mengesan dan mendapatkan bacaan pencemaran di kawasan terlibat,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Sungai Pandan hari ini.

Tian Soon berkata, selain tiga kawasan sekitar Taman Daya, Taman Mount Austin dan Taman Istimewa, pencemaran bau tersebut kini turut melibatkan kawasan  Kampung Melayu Pandan.

Katanya, dalam masa sama, JAS akan menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap kilang-kilang berdekatan sungai tersebut setelah keputusan sampel kedua diketahui.

Menurutnya, setakat ini, kejadian pencemaran tersebut tidak melibatkan sebarang mangsa namun sebuah tadika dan sekolah agama di Kampung Melayu Pandan yang terletak berhampiran sungai tersebut telah diarahkan tutup sebagai langkah berjaga-jaga.

“Sekolah tadika telah ditutup dan saya telah berbincang dengan wakil penduduk di kawasan ini dan menasihati supaya sekolah agama di sini ditutup pada hari ini. Ini kerana kita belum kenal pasti lagi bahan apa yang menyebabkan pencemaran udara itu berlaku.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, adalah lebih baik operasi sekolah agama ini direhatkan pada hari ini sementara menunggu laporan siasatan,” katanya.

Penduduk juga ujarnya, dinasihatkan memakai pelitup muka dan segera mendapatkan rawatan sekirany mengalami sebarang gejala.- MalaysiaGazette