KUALA LUMPUR – Pengeluaran minyak mentah dan kondensat meningkat semula sebanyak 1.3 peratus bagi merekodkan 46.1 juta tong pada suku kedua 2024.
Sementara itu, gas asli terus meningkat dengan pertumbuhan 3.0 peratus pada suku ini, mencatatkan jumlah pengeluaran sebanyak 696.8 bilion kaki padu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pengeluaran minyak mentah dan kondensat adalah sebanyak 46.1 juta tong pada suku kedua 2024, meningkat semula sebanyak 1.3 peratus selepas dua suku tahun berturut-turut dalam trend penurunan.
Sementara itu, gas asli kekal positif dengan peningkatan 3.0 peratus (ST1 2024: 9.1%), mencatatkan 696.8 bilion kaki padu pada suku kedua 2024 berikutan daripada pemulihan dalam minyak mentah yang bertumbuh sebanyak 0.1 peratus (ST1 2024: -5.8%).
Manakala kondensat berkembang sebanyak 4.2 peratus (ST1 2024: 14.0%).
Pada masa yang sama, pengeluaran gas asli meningkat sebanyak 3.0 peratus pada suku tahun ini, pertumbuhan lebih perlahan berbanding 9.1 peratus yang direkodkan pada suku tahun sebelumnya menghasilkan jumlah pengeluaran sebanyak 696.8 bilion kaki padu berbanding 799.8 bilion pada suku pertama tahun 2024.
Harga WALP minyak mentah masih kekal pada paras AS$86.9 per tong pada suku tahun kedua 2024.
Bagaimanapun, harga setiap tong WTI dan Brent menunjukkan peningkatan dengan masing-masing mencatatkan AS$81.7 per tong (ST1 2024: AS$77.6 per tong) dan AS$84.6 per tong (ST1 2024: AS$83.0 per tong).
“Nilai eksport minyak mentah dan kondensat merekodkan RM7.5 bilion pada suku kedua 2024, lebih rendah berbanding RM9.1 billion pada suku pertama 2024.
“Thailand kekal menjadi destinasi utama bagi eksport petroleum mentah dan kondensat pada suku tahun ini dengan RM2.2 bilion atau merangkumi 29.7 peratus, diikuti oleh Australia (26.8%) dan Brunei (12.7%).
Sementara itu, nilai eksport keluaran petroleum bertapis berkurang kepada RM29.6 bilion pada suku ini berbanding RM33.6 bilion pada suku sebelumnya.
Singapura terus mendominasi sebagai negara destinasi utama bagi eksport keluaran petroleum bertapis berjumlah RM7.2 bilion atau 24.2 peratus, diikuti oleh Australia (14.9%) dan Indonesia (13.5%).
Eksport LNG turut mencatatkan nilai yang rendah, daripada RM18.5 bilion pada suku pertama 2024 kepada RM13.0 bilion pada suku ini dengan sejumlah RM5.0 bilion (38.3%) daripada LNG adalah dieksport ke Jepun, diikuti oleh China (32.8%) dan Republik Korea (14.1%).
Mengulas lebih lanjut, Mohd Uzir berkata, import minyak mentah dan kondensat berjumlah RM18.6 bilion untuk suku kedua tahun 2024 (ST1 2024: RM15.7 bilion).
Arab Saudi terus menjadi negara asal utama bagi import petroleum mentah dan kondensat, merangkumi 40.5 peratus atau bersamaan dengan RM7.5 bilion pada suku tahun ini, diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (22.5%) dan Amerika Syarikat (9.3%).
Sementara itu, nilai import bagi keluaran petroleum bertapis RM29.8 bilion, lebih rendah daripada RM37.5 bilion yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya, dengan Singapura menyumbang nilai tertinggi sebanyak RM11.2 billion (37.5%), diikuti oleh Republik Korea (13.6%) dan China (10.6%).
Selain itu, import bagi LNG turut mencatatkan penurunan pada suku ini kepada RM2.2 bilion (ST1 2024: RM2.8 bilion).
Australia kekal sebagai negara asal dengan nilai import tertinggi sebanyak RM1.8 bilion atau 82.1 peratus, diikuti oleh Mozambique (9.0%) dan Amerika Syarikat (8.9%). – MalaysiaGazette