Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra pada Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 3 SEPTEMBER 2024

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM15 juta kepada pasukan kebangsaan Harimau Malaya.

Menurut Anwar, peruntukan itu diberikan berikutan minat yang ditunjukkan oleh masyarakat terhadap penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak dan bagi memastikan kecemerlangan pasukan bola sepak kebangsaan.

“Saya berasa bertanggungjawab untuk memberikan sedikit dorongan. Saya tidak mahu campur dalam urusan persatuan. Saya telah beri arahan menteri dan timbalan menteri sudah banyak tugas tidak perlu campur urusan sukan. Boleh beri sokongan.

“Jadi pada hari ini mengenangkan banyak masalah, rakyat terutama orang muda minat tentang bola sepak, saya ambil keputusan untuk secara peribadi memantau dan membantu memperkukuh pasukan Harimau Malaya,” kata Anwar.

Perdana Menteri membuat pengumuman tersebut ketika berucap dalam Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Sejumlah RM10 juta disumbangkan oleh Kerajaan manakala baki RM5 juta hasil komitmen daripada syarikat swasta.

Anwar berkata, peruntukan itu bukan untuk digunakan oleh persatuan sebaliknya khusus untuk pasukan Harimau Malaya meliputi pengurus, jurulatih dan pemain.

Beliau berharap dengan peruntukan itu Harimau Malaya akan menjadi pasukan gergasi dalam tempoh beberapa tahun.

Menurut Perdana Menteri, beliau mengambil pendekatan yang dibuat oleh Alex Ferguson ketika bertemu dengan Ketua Jurulatih Kelab Manchester United itu di New York yang memimpin pasukan tersebut dengan penuh kasih sayang tanpa mengira agama.

“Dia kata, kadang-kala dalam Ramadan mereka mahu berpuasa. Dia kata perubahan dibuat dalam latihan dengan bukan puasa makan sikit, kemudian baru berlatih.

“Dia juga sediakan makanan halal, dia pastikan ada hubungan langsung dengan ibu bapa pemain. Pengurusan yang komitmen begitu rupa, anak-anak kasih,’ kata Anwar.

Tambah Anwar, beliau akan bertemu dengan pasukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Menteri Belia dan Sukan selepas pulang dari Vladivostok, Rusia bagi memaklumkan peruntukan tersebut.

Beliau berkata, seorang pegawai kanan Kementerian Kewangan akan memantau peruntukan tersebut bagi memastikan pengurusan kewangan teratur.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast