KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya bersedia mempamerkan aksi terbaik dalam kejohanan Piala Pestabola Merdeka 2024 yang membuka tirainya mulai esok.
Ia bermula dengan skuad kendalian Pau Marti Vicente akan bertemu Filipina pada pukul 9 malam Rabu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti dalam sidang media pra perlawanan di stadium petang tadi berkata,persiapan pasukannya berjalan lancar sejak lima hari lalu.
Menurutnya, barisan kejurulatihannya bekerja keras untuk mempersiapkan pasukan yang menduduki 134 dalam ranking FIFA itu supaya sentiasa berada pada tahap tinggi daripada segi mental dan fizikal untuk beraksi esok.
Ditanya mengenai kekalahan beberapa perlawanan lalu di pentas antarabangsa, beliau berkata, ia tidak akan menjejaskan fokus dan persiapan pasukan kali ini.
“Skuad saya sangat positif sekarang, apa yang berlaku pada masa silam tidak akan menjejaskan persiapan kami kerana kami ketepikan apa yang berlalu dan terus mara ke depan dengan sikap positif.
“Walaupun, wujud isu boikot daripada penyokong kedengaran sejak kebelakangan ini, ia adalah di luar kawalan kami sedangkan kami hanya mampu kawal apa yang berlaku atas padang.
“Apa pun, penyokong adalah kekuatan kami dan kehadiran mereka perlu dan akan memberi motivasi tambahan kepada skuad untuk beraksi cemerlang,” katanya lagi.
Pau Marti turut ditanya mengenai keterujaan para penyokong Harimau Malaya selepas melihat profil bola sepak Pau Marti yang pernah membarisi kejurulatihan kelab Barcelona FC dan boleh mengharapkan aksi gaya Tiki Taka bersama skuad Harimau Malaya di bawah bimbinganya.
Menjawab pertanyaan itu, beliau berkata, harapannya adalah skuad kebangsaan dapat mempamerkan attacking football yang terbaik dalam Pestabola Merdeka esok.
“Bagi saya, gaya permainan tidak menentukan kemenangan tetapi sejauh mana mereka komited dan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk menang sesuatu permainan itu adalah sangat penting dan itu yang saya cuba terapkan.
“Kim Pan Gon (bekas ketua jurulatih) sudah mendirikan asas bola sepak di sini dan dengan barisan kejurulatihan yang tidak berubah saya komited meneruskan legasi dan momentum itu untuk skuad kebangsaan Malaysia,” tegasnya.
Pau Marti juga menyatakan setinggi penghargaan kepada kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan imbuhan RM50 juta sekiranya Harimau Malaya berjaya memperbaiki ranking FIFA meletakkan diri dalam 100 terbaik dunia pada 2025.
“Kami hargai sokongn PM itu, itu motivasi untuk pemain pasukan dan menujukkan kesungguhan PM sokong pasukan kebangsaan. Harimau Malaya ada potensi (ranking 100 FIFA) cuma perlu percaya sepenuhnya dan bekerja keras, saya rasa mereka boleh pergi jauh lagi untuk capai sasaran tersebut jika memiliki konsistensi dan semangat jitu,” ujarnya.
Dalam pada itu, pemain Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba yang mengulas mengenai tindakan boikot penyokong berkata, mereka perlu mempamerkan aksi terbaik untuk menarik penyokong kembali ke stadium.
“Penyokong Harimau Malaya sangat istimewa di Malaysia begitu juga begitu juga penyokong bola sepak ke Stadium Nasional Bukit Jalil yang mana boikot itu sesuatu kita tak boleh kawal.
“Kami akan memberikan aksi terbaik esok menang untuk menunjukkan kehadiran para penyokong yang boikot penting untuk hadir ke stadium dan sokong pasukan Harimau Malaya.
“Penyokong sebenarnya semangat kami dari luar padang termasuk yang akan tonton melalui kaca televisyen dari rumah, esok kami akan pamerkan terbaik,” ujarnya.- MalaysiaGazette