Luxon (empat dari kiri) bersama ahli-ahli Parlimen pembangkang dalam satu pertemuan di ibu negara semalam. Gambar: Facebook Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon membuat kunjungan hormat ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin di ibu negara, semalam.

Turut dijemput adalah ahli-ahli Parlimen pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menerusi hantaran di Facebook berkata, mereka bertukar pandangan dalam soal pembangunan, perdagangan, politik dan pendidikan yang boleh dijalin antara kedua-dua negara.

“Kami bertukar-tukar pandangan dalam soal pembangunan, perdagangan, politik, dan pendidikan yang boleh dijalin antara kita.

“Rupanya PM New Zealand ini alumnus daripada Christchurch Boys’ High yang telah lahirkan 46 All-Blacks seperti Dan Carter, Brodie Retallick. Beliau seorang pemimpin yang mempunyai pengalaman luas dalam dunia korporat,” katanya.

Luxon berada di Malaysia bagi mengadakan lawatan rasminya dan semalam beliau turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya. – MalaysiaGazette