KUANTAN – Polis Pahang melupuskan sebanyak 3,095 barangan berkaitan dadah bernilai RM535,009.15 yang dirampas sejak 2011 hingga tahun ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pahang itu akan dilupuskan kontraktor bertauliah di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan pada jam 11 pagi esok.
Katanya, antara barang kes yang dimusnahkan itu termasuk 12 jenis dadah termasuk methamphetamine seberat 22,041.39 gram, heroin (8,465.45 gram), Cannabis (1,464.98 gram), ketamin (237.92 gram), nimetazepam (60.16 gram) yaba (149.19gram), estasy (56.06 gram), air ketum (4,840.85 liter), daun ketum (70,016.71 gram, Codein (310.69 gram) dan pil psikotropik (0.10 gram).
“Dadah pelbagai jenis ini dilupuskan setelah mendapat perintah mahkamah berikutan prosiding telah selesai dan tempoh rayuan hukuman terhadap pesalah telah tamat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena pelupusan barang kes itu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.
Sementara itu, Yahaya memaklumkan JSJN Pahang berjaya melakukan sebanyak 8,693 tangkapan melibatkan 9,561 kes atas pelbagai kesalahan narkotik dan merampas dadah bernilai RM10.6 Juta bagi tempoh bermua Januari hingga Julai tahun ini. – MalaysiaGazette