Tangkap layar sebuah video tular memaparkan seorang lelaki melarikan telefon bimbit di sebuah kedai menjual peralatan itu di bandar Muar

MUAR – Berpura-pura melihat telefon bimbit sebelum bertindak melarikannya dalam kejadian di sebuah kedai menjual peralatan itu di daerah ini.

Itu taktik seorang lelaki yang menyamar sebagai pelanggan tetapi sebenarnya mahu mencuri telefon bimbit di kedai tersebut.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya mengesan satu video memaparkan kejadian tersebut yang tular dalam media sosial.

Pada masa sama, katanya, satu laporan dibuat jurujual kedai berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pukul 11.49 pagi 1 September lalu.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku semasa pengadu sedang bekerja di kedai telefon berkenaan telah datang seorang suspek iaitu lelaki warga tempatan.

“Semasa pengadu melayan suspek dengan memberikannya melihat sebuah telefon bimbit, secara tiba-tiba suspek melarikan diri dengan telefon bimbit tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan juga boleh didenda.

Dalam pada itu kata Raiz Mukhliz, pihaknya menasihati orang ramai sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada.

Tambahnya, pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu melakukan perbuatan serupa bagi memastikan keselamatan harta benda orang ramai terjaga.

Terdahulu tular video berdurasi 1 minit 10 saat memaparkan seorang lelaki melarikan telefom bimbit di sebuah kedai telefon bimbit di bandar Muar.- MalaysiaGazette