PUTRAJAYA – Kerajaan telah menubuhkan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan bagi menangani isu pertindihan fungsi sekali gus melaksanakan reformasi atau pembaharuan.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, badan itu juga akan memastikan tidak ada anggota awam melakukan kecurangan melalui jawatan yang disandang.
“Cadangan untuk kita reform penjawan awam perlu diteruskan baik dalam kerajaan, badan berkanun, syarikat-syarikat kerajaan. Mereka memandang kedudukan itu sebagai satu habuan, mereka kadang kala mempamerkan kemewahan dari dana rakyat, negara.
“Sebab itu pemantauan harus teliti, saya telah putuskan baru-baru ini Kementerian Kewangan membentuk jawatankuasa dua hala iaitu mengemas kini rasionalisasi badan-badan berkanun.
“Badan-badan berkanun terlalu banyak dan bertindih, sukar untuk dirasionalisasi, makna nak dikurangkan, nak dikemaskan. Belanja tak terkawal. Kalau lantik pengerusi baru yang diperhatikan kereta apa, pejabat diubah. Pada hal pejabat sudah cantik,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Kementerian Kewangan yang turut dihadiri Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Anwar berkata, beliau secara peribadi pernah mengalami keadaan di mana seorang bekas pengerusi bergelar datuk meluru ke pejabatnya di Kementerian Kewangan gara-gara ditegur oleh pegawai muda berkaitan perbelanjaan yang dilakukan.
“Kerana kata dia anak muda ini baru belajar, hendak ajar kita dan beliau mahu membantah. Saya panggil pegawai muda ini dan beri laporan.
“Saya buat keputusan pada masa itu menyokong tindakan pegawai muda wakil Kementerian Kewangan kerana dia melakukan tugas,” kata Anwar.
Perdana Menteri menegaskan setiap agensi perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawap tanpa rasa takut terhadap mana-mana pihak dan mereka yang mahu membuat ugutan melakukan kesilapan jika berbuat demikian.
Semalam Anwar memberi gambaran September sebagai bulan pergerakan dan ‘reform’ atau pembaharuan lebih besar dalam kalangan kakitangan awam.
Tegas Perdana Menteri, semua pihak perlu berusaha untuk meningkatkan kecekapan ke tahap 95 peratus.
Untuk itu, katanya, semua penjawat awam perlu melakukan yang terbaik dalam membawa perubahan ke arah kebaikan dan tidak sekadar kekal di tahap sederhana.-MalaysiaGazette