Ketua Pegawai Eksekutif Faith Events, Khairul Amar Razali (dua kiri) bergambar bersama Ketua Pegawai Operasi Faith Events, Munira Mustafa (kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (kiri) selepas sidang media mengenai legenda dunia seni bela diri campuran (MMA), Khabib Nurmagomedov yang pertama kali akan datang ke Malaysia ketika di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Lebih 1,500 tiket daripada 3,000 tempat duduk pada program bual bicara secara eksklusif bersama legenda dunia seni bela diri campuran (MMA), Khabib Nurmagomedov di negara ini terjual.

Atlet kelahiran Dagestan, Rusia yang kali pertama hadir di negara ini bakal menemui peminat dalam acara ‘Khabib Nurmagomedov Live in Malaysia’ di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 29 September ini.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Faith Events, Munira Mustafa berkata, Khabib akan tiba di Malaysia pada 27 September ini sebelum berlepas ke Jakarta, Indonesia keesokan harinya dan kembali semula ke ibu kota untuk program bual bicara dua hari kemudian.

“Alhamdulillah lebih separuh tiket sudah habis terjual dan hanya beberapa seksyen tempat duduk masih berbaki untuk menjadi rebutan peminat.

“Acara ini diadakan adalah untuk memberi inspirasi kepada orang ramai di Malaysia tentang apa yang diperlukan untuk menjadi juara tanpa kalah sepanjang kariernya sambil mengenali Khabib secara peribadi apatah lagi ini kali pertama beliau melawat Malaysia,” katanya pada sidang media mengumumkan kehadiran Khabib di WTC, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Faith Events, Khairul Amar Razali dan Pengarah Urusan Kumpulan WTC, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim

Program bual bicara itu akan menampilkan Alif Satar sebagai pengacara dan bintang muda muay thai negara, Johan Ghazali atau Jojo sebagai tetamu khas.

Kunjungan bekas juara lightweight Ultimate Fighting Championship atau UFC itu sempena Siri Pendidikan Islam, Faith Events 2024.

Khabib merupakan antara atlet sukan paling berpengaruh di dunia dan memiliki 37 juta pengikut di Instagram.

Ketua Pegawai Eksekutif Faith Events, Khairul Amar Razali bercakap kepada media mengenai legenda dunia seni bela diri campuran (MMA), Khabib Nurmagomedov yang pertama kali akan datang ke Malaysia ketika di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2024.

Mengulas lanjut, Khairul Amar berkata, program bual bicara itu juga mahu memberi inspirasi kepada masyarakat di Malaysia untuk menghayati perjalanan seorang juara dunia yang tidak pernah tewas sepanjang 29 pertarungan.

Katanya, pada masa sama, atlet kelahiran Dagestan, Rusia juga menunjukkan contoh teladan yang baik atau nilai universal yang positif kepada masyarakat seperti semangat kekeluargaan, menghormati lawan, dan mentaliti elit yang tidak mudah berputus asa.

“Beliau juga terkenal di seluruh dunia, bukan hanya kerana kemahiran bertarungnya tetapi juga sebagai seorang yang sentiasa mendalami agama dan dermawan,” katanya.

Khabib, 35, memulakan latihan seni mempertahankan diri sejak kecil di bawah bimbingan arwah bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov.

Beliau membuat penampilan sulung UFC pada 2011 dan bersara sebagai juarakelas lightweight yang tidak pernah kalah pada 2021 dengan rekod menakjubkan 29-0.

Khabib juga dianggap salah seorang petarung yang paling dominan dalam sejarah sukan UFC dan pada Julai 2022, beliau telah dilantik ke dalam UFC Hall of Fame.

Sementara itu, baki tiket yang terhad masih dijual di www.khabibmalaysia.com bermula serendah RM159 sehingga paling mahal iaitu RM1,699. – MalaysiaGazette

Legenda seni bela diri campuran (MMA) dunia, Khabib Nurmagomedov akan menemui peminat-peminatnya di Malaysia pada 29 September ini di WTC Kuala Lumpur.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast