KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan perkembangan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara sebagai sesuatu yang luar biasa.
Sambil merakamkan ucapan tahniah kepada pentadbiran Putrajaya, Dr. Mahathir berkata, bandar itu telah berkembang pesat sejak pelancarannya pada 1995.
Malah, katanya, rakyat Malaysia juga boleh berbangga dengan keindahan Putrajaya yang disifatkan seperti sebuah bandar yang benar-benar di dalam taman.
“Jalan-jalannya dipenuhi dengan bunga-bunga yang dipangkas dengan indah. Pokok-pokok juga rendang memenuhi jalan.
“Taman-taman dijaga dengan baik dan berlandskap. Pentadbiran Putrajaya jelas mempunyai cita rasa yang baik dan menghargai keindahan.
“Bangunan-bangunan yang berada di antara jalan (boulevard) juga sangat mengagumkan. Malah medan selera juga dibangunkan dan diselenggara dengan baik,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Dr. Mahathir, beliau telah melihat ibu negara dan bandar di kebanyakan negara, namun tiada yang boleh menandingi kecantikan dan keteraturan yang dimiliki Putrajaya.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pentadbiran Putrajaya, anda telah melakukan kerja yang hebat,” katanya.
Sejarah pembentukan Putrajaya bermula dengan cetusan idea Dr. Mahathir untuk mewujudkan Pusat Pentadbiran Kerajaan di luar Kuala Lumpur pada pertengahan 1980-an.
Pada 2 Jun 1993, kerajaan kemudian meluluskan kawasan Prang Besar di Sepang sebagai tapak pembangunan yang strategik dan dilancarkan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Keempat pada 1995.
Nama Prang Besar ditukar kepada Putrajaya sebagai memperingati bekas Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Pada 1 Februari 2001, Putrajaya telah diisytiharkan dengan rasmi sebagai Wilayah Persekutuan yang ketiga. – MalaysiaGazette