KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah mengambil sebanyak 321 tindakan undang-undang berkait kes premis di bawah agensi itu yang dijadikan stor atau dibuka tidak mengikut terma perjanjian.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, notis perundangan terhadap premis tersebut dikeluarkan dalam tempoh kira-kira enam bulan lalu.
Ujarnya, MARA perlu bertegas dalam tindakan itu kerana ia melibatkan hak rakyat dan amanah orang Melayu yang mesti dipertanggungjawabkan sebaik mungkin.
“Ini (juga) adalah sebahagian daripada usaha untuk mentransformasikan premis-premis Mara termasuklah Bazar MARA, Plaza MARA, Arked MARA dan lain-lain agar lebih segar, dinamik dan berwajah baharu.
“Saya juga mahu lebih banyak usahawan-usahawan Bumiputera lain dapat mengambil manfaat daripada premis-premis yang menawarkan sewa yang murah untuk mereka dapat meningkatkan produktiviti dan prestasi perniagaan masing-masing dengan lebih maju dan berdaya saing,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut menggesa pihak yang mempunyai maklumat berhubung mana-mana daripada 6,666 buah premis di bawah MARA yang dijadikan stor atau dibuka tidak mengikut syarat melaporkan perkara itu kepada pihaknya untuk diambil tindakan.
Sebelum ini, media melaporkan, MARA akan memberikan notis pengosongan dua bulan terhadap premis di bawah agensi itu yang dijadikan stor dan tidak dibuka seperti dalam perjanjian.
Menurut Asyraf Wajdi, pendekatan itu adalah antara langkah drastik menerusi Program Transformasi Premis Komersial MARA bagi memastikan premis terbabit terus berfungsi membantu usahawan Bumiputera menjana pendapatan. – MalaysiaGazette