Air Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru berwarna hitam, berminyak dan berbau kerana tercemar dengan bahan kimia dibuang secara haram.

JOHOR BAHRU – Pencemaran bau sekitar Kampung Melayu Pandan, di sini, semalam disyaki berpunca daripada bahan kimia yang dibuang dalam sungai berhampiran.

Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, tidak menolak kemungkinan itu kerana kejadian sama pernah berlaku sebelum ini sehingga menjejaskan kandungan dan kualiti air Sungai Tebrau.

“Buat sementara ini, saya percaya ia mungkin faktor daripada pembuangan sisa toksik atau sisa industri secara haram ke dalam sungai.

“Perkara sebegini berlaku beberapa kali. Tiga tahun lepas, Kampung Tawakal bawah Parlimen Tebrau menerima kesan yang sama serta kejadian pada 2019 di Sungai Kim Kim,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, beliau meninjau keadaan Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan, di sini, bagi melihat keadaan air sungai berkenaan yang berminyak dan berwarna hitam sejak semalam.

Semalam media melaporkan, penduduk di Taman Mount Austin, Taman Daya, Taman Istimewa dan kampung berkenaan mendakwa terhidu bau seakan kimia yang sangat busuk.

Mereka mendakwa, bau busuk tersebut mengakibatkan loya, sakit tekak, pening kepala dan pedih mata sehingga sebuah sekolah tabika kemas serta sekolah agama ditutup semalam.

Mengulas lanjut, Wee Tse menggesa kerajaan serta pihak berwajib mengambil tindakan tegas termasuk langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang.

“Kerajaan telah meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 2024 dengan meningkatkan jumlah denda sehingga RM10 juta dan penjara mandatori tidak melebihi lima tahun,” tegasnya.

Tambahnya, isu pembuangan sisa kimia secara haram tidak sepatutnya berlaku dan pihak kerajaan tidak boleh berkomprimi dengan keselamatan rakyat.

“Saya mengesa kerajaan dan pihak berkuasa untuk mencari pesalah dan mengambil tindakan setegasnya,” katanya.- MalaysiaGazette