JOHOR BAHRU – Bau busuk pencemaran bahan kimia hingga mengakibatkan penduduk sekitar Kampung Seri Pandan, di sini, loya, sakit tekak, pening dan pedih mata sudah berkurangan hari ini.
Tinjauan di kampung tersebut pada pagi ini mendapati penduduk sudah melakukan aktiviti seperti biasa selepas gerai, sekolah tabika dan sekolah agama ditutup semalam.
Pada masa sama bau busuk yang menusuk hidung dan mengakibatkan kepala pening di persekitaran kampung terutama berdekatan Sungai Pandan juga sudah berkurangan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Melayu Pandan, Mohd Fauzi Mohamad berkata, keadaan bau pencemaran dari sungai tersebut hari ini jauh beza dengan semalam.
“Hari ini udara lebih segar dan bau busuk tiada di kawasan awam. Bau jauh beza dengan semalam, kawasan kampung penduduk boleh keluar minum di kedai makan hari ini.
“Bau itu sedikit sahaja hanya dapat dihidu jika berada berdekatan dengan Sungai Pandan.
“Cikgu tabika pun boleh masuk premis dan kemaskan tabika. Semalam bau terlampau kuat, pembantu tabika pun ada yang muntah semalam. Sekolah agama pun sudah beroperasi,” katanya ketika ditemui di kampung itu, hari ini.
Katanya, pihak berkuasa memaklumkan tiada kesan besar daripada pencemaran tersebut dan keadaan kembali normal namun berharap pesalah segera dikesan.
“Pihak terbabit juga masih belum tahu apa bahan yang dibuang dalam sungai hingga jadi bau begitu busuk, pihak berkenaan kata dalam siasatan,”katanya.
Sementara itu, Guru Tabika Kemas Jalan Masjid, Siti Noor Azliza Abd Aziz, 39, berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, hari ini murid tabika masih dicutikan.
Katanya, Tabika akan beroperasi semula pada esok.
“Semalam bau sangat kuat. Alhamdulillah murid-murid dalam keadaan sihat, memang kami sudah pesan hadir dengan memakai pelitup muka.
“Guru-guru ada yang pening kepala semalam, sebab lokasi tadika betul-betul bersebelahan Sungai Pandan. Hari ini kami datang untuk membersihkan kelas dan bau juga sudah berkurangan,”katanya.- MalaysiaGazette