KUALA LUMPUR – Penggunaan perisian komputer Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) yang berkuatkuasa 1 Ogos lalu terpakai kepada sistem perbentungan dan pembinaan jalan raya baharu.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penggunaan sistem tersebut adalah bagi mengelakkan insiden tanah jerlus seperti yang berlaku di Jalan Masjid India, di sini, baru-baru ini.
“Sebagai contoh, kurangnya pemetaan dari segi sistem pembentungan di ibu negara. BIM ini bukan hanya untuk bangunan, tetapi ia juga pembentungan dan juga jalan raya.
“Semalam kami berbincang dalam pasca mesyuarat Kabinet bagaimana untuk laksanakan BIM ini. Maka sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar) ditubuhkan untuk kita menyelaraskan segala teknologi baharu dalam pembinaan bangunan dan juga pembinaan jalan,” katanya.
Ahmad berkata demikian dalam sidang media selepas Persidangan Antarabangsa ke-13 Mengenai Kejuruteraan Geoteknikal di kawasan Tropika (Geotropika) dan Persidangan Mengenai Kejuruteraan Lebuhraya dan Pengangkutan (ICHITRA), (GEOCHITRA 2024), hari ini.
Sebelum ini, Ahmad berkata, penggunaan BIM akan diperluaskan ke semua peringkat khususnya dalam projek berkaitan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 1 Ogos ini.
Malah BIM akan diguna pakai bagi projek bernilai RM10 juta ke atas.
BIM adalah proses untuk merancang, mereka bentuk, membina dan menguruskan bangunan atau infrastruktur menggunakan model tiga dimensi atau 3D.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pelaksanaan BIM tersebut juga akan mengurangkan pertembungan projek utiliti bawah tanah yang akan menyebabkan peningkatan kos dan kerosakan pada masa akan datang.
“Sebagai contoh pembentungan itu hendaklah dibuat sedemikian rupa supaya ia mengikut pemetaan tertentu. Perkara ini sudah diputuskan lebih awal kemudian berlakulah kejadian di Masjid India.
“Semua itu ada kaitan, bila ada BIM ini satu model 3D untuk pembinaan atas bangunan sehingga ke bawah tanah, maka kita dapat mengetahui lebih tepat untuk bina dan kurangkan segala insiden tidak diingini,” katanya.
Bagi mengurangkan lagi kos, Ahmad turut mencadangkan supaya universiti-universiti dan syarikat-syarikat pembinaan tempatan bekerjasama membangunkan perisian BIM keluaran Malaysia.
“Ketika ini kita menggunakan perisian dari negara maju seperti United Kingdom dan disebabkan kos yang tinggi, oleh itu kita meminta supaya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) terutamanya merekacipta dengan pihak pakar supaya perisian BIM boleh dikeluarkan oleh kita sendiri tanpa langgar hak cipta daripada luar negara.
“Ia untuk kurangkan kos, terutamanya kepada syarikat kecil apabila mereka laksanakan projek itu dan terpaksa guna BIM, satu perisian itu kadang-kadang libatkan puluhan ribu ringgit. Jadi kita nak kurangkan kos dan keluarkan software sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette