KUALA LUMPUR – Restoran makanan, Dolly Dim Sum memaklumkan dapur berpusat (central kitchen) yang membekalkan bahan-bahan dan makanan separa siap ke semua cawangannya telah menerima sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Bagaimanapun restoran tersebut menerusi kenyataan menjelaskan masih dalam proses mendapatkan sijil halal daripada JAKIM untuk setiap cawangannya.

“Seperti yang dinyatakan dalam pengumuman kami pada 1 Ogos 2024 kami juga sedang dalam proses mendapatkan sijil halal untuk setiap cawangan kami. Memperoleh sijil halal Dapur Berpusat adalah sebahagian dari langkah penting dalam keseluruhan proses pensijilan ini,” katanya.

Sehubungan itu, restoran tersebut berharap penjelasan tersebut dapat memberi pencerahan kepada pelanggannya.

“Kami berharap dapat menjelaskan sebarang kebimbangan dan kami berterima kasih atas kepercayaan serta sokongan anda,” tambahnya.

Sebelum ini, Jakim dalam satu kenyataan memaklumkan semakan status halal mendapati lima restoran bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Lima premis itu adalah premis Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr. Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw.

Selain Dolly Dim Sum, pihak pengurusan Johnny’s Restaurants dan Black Canyon Malaysia turut tampil menjelaskan status halal restoran masing-masing.

Walaupun restoran tersebut belum lagi menerima sijil halal rasmi daripada Jakim, pihak pengurusan menegaskan bahawa semua bahan makanan yang digunakan memiliki sijil halal.-MalaysiaGazette