Anthony Loke
Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Keputusan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow untuk tidak mempertahankan jawatannya dan menarik diri daripada pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang tidak akan memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri itu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Kon Yeow akan terus memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang sehingga akhir penggal ini.

Jelas beliau, ia selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang mengehadkan jawatan Ketua Menteri selama dua penggal maksimum.

“Saya menghormati keputusan dan pendirian beliau (Kon Yeow) demi pembaharuan dalam kepimpinan DAP Pulau Pinang setelah beliau menerajui jawatankuasa negeri DAP Pulau Pinang selama 25 tahun.

“Sebelum pengumuman hari ini, beliau telah berbincang dengan saya berkenaan hasratnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow mengumumkan beliau tidak akan bertanding pada pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang yang akan diadakan pada 22 September depan.

Menurut Kon Yeow, beliau telah menerima surat pemberitahuan daripada DAP Pusat berhubung pencalonannya itu pada 27 Ogos lalu, namun telah menolaknya.

Katanya, keputusan itu diambil untuk memberi laluan kepada muka baharu selain yakin perwakilan akan memilih Jawatankuasa DAP Pulau Pinang yang cemerlang untuk meneruskan misi politik parti di negeri tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast