Kereta dipandu budak 10 tahun terbabas dan melanggar dua kenderaan lain. Foto PDRM

KUALA LUMPUR- Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan rakannya berusia sembilan tahun terlibat dalam kemalangan selepas kereta yang dipandunya terbabas dengan dua kenderaan lain di Seremban, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu.

Katanya, kedua-dua kanak-kanak terbabit dari arah Apartment Arowana Impian ke Taman Arowana Impian dan ketika tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dikatakan terbabas ketika melalui selekoh.

Kereta terbabit kemudiannya dikatakan melanggar sebuah van jenis Toyota yang diparkir di kiri bahu jalan.

Akibat rempuhan itu, van berkenaan menggelongsor ke hadapan dan merempuh sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diparkir di hadapannya.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika kereta jenis Toyota Corolla dipandu seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun bersama rakannya berusia sembilan tahun.

“Kereta itu dipercayai milik ibu bapa kanak-kanak berkenaan, manakala rakannya pula adalah anak kepada jiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pihak untuk mematuhi peraturan jalan raya dan ibu bapa atau penjaga supaya memantau tindakan anak-anak bagi mengelak kejadian seperti itu.

“Tindakan tegas akan diambil kepada pemandu yang melakukan kesalahan dan jika pelaku adalah kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga juga akan diambil tindakan,” ujarnya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39(1) dan Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.- MalaysiaGazette