Chow Kon Yeow pada sidang media di Komtar, Pulau Pinang hari ini. Gambar ihsan - FB CKY

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hari ini mengumumkan beliau menolak untuk bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa DAP negeri yang dijadualkan berlangsung pada 22 September ini.

Jelas beliau, keputusan ini adalah sebahagian daripada pelan penggantian yang dimulakan selepas beliau dilantik semula sebagai Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Umum Negeri pada Ogos tahun lalu.

“Saya menerima surat pemberitahuan daripada DAP Pusat mengatakan saya telah dicalonkan untuk bertanding dalam Jawatankuasa DAP Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, selepas pelbagai penelitian dibuat, saya mengambil membuat keputusan untuk tidak menerima pencalonan tersebut.

“Saya percaya dengan perunduran ini, ia akan memberi peluang kepada pemimpin baharu untuk mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang dan mempersiapkan parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Kon Yeow, beliau yakin para perwakilan akan memilih Jawatankuasa DAP Pulau Pinang yang kuat untuk meneruskan misi politik parti di negeri ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan saya kepada parti dan ahli-ahli kerana menyokong serta memberi peluang untuk saya berkhidmat sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang selama 25 tahun dan sebelum itu, selama lapan tahun sebagai setiausaha negeri.

“Saya terhutang budi kepada rakyat Pulau Pinang atas sokongan dan semangat juang yang hebat untuk bersama-sama saya sepanjang tempoh saya memegang jawatan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette