KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, industri halal yang terus berkembang meletakkan Malaysia pada kedudukan terbaik dalam memenuhi minat mendalam Rusia dalam sektor itu.
Tambah Perdana Menteri, nilai yang dikongsi secara bersama itu pastinya akan memberi manfaat tidak hanya kepada warga Muslim, tetapi negara secara keseluruhannya.
Menurut beliau, perkara itu antara yang dibincangkan ketika bertemu Timbalan Utama Pengerusi Majlis Mufti Persekutuan Rusia, Rushan Hazrat Abbyasov serta Wakil Diplomat Jabatan Spiritual Wilayah Timur Jauh, Jamal Sirenevich Garifullin.
“Pertemuan ini ternyata menjadi satu peringatan kepada hubungan terdalam warga Muslim di kedua-dua negara, melangkaui jarak serta benua yang memisahkan kita.
“Rusia mempunyai seramai 25 juta warga Muslim, yang tentunya lebih besar jumlahnya ketimbang Malaysia.
“Lantaran itu, ini mesti menjadi alasan yang kukuh betapa hubungan yang lebih erat perlu direncana dan diusahakan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Anwar, dalam pertemuan sama, turut disentuh adalah mengenai sistem perbankan Islam, latihan serta pembangunan keupayaan selain pertukaran kepakaran dan kerjasama pelbagai institusi di Malaysia iaitu Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Muzium Kesenian Islam, Bank Negara Malaysia dan banyak lagi.
Selain itu, katanya, turut ditekankan adalah berkenaan kepentingan memupuk nilai dan insititusi kekeluargaan selain tumpuan diberikan secukupnya dalam membangun masyarakat dengan nilai dan etika di samping berusaha melonjak negara ke tahap membanggakan.
“Justeru, pendekatan yang sama juga diambil di Malaysia tatkala kita mengenengahkan Malaysia MADANI dalam menggapai maksud dan objektif tersebut.
“Kunjungan ke Rusia kali ini ternyata mengujakan tatkala terpacul pelbagai peluang nyata yang mampu dimanfaatkan demi kebaikan dan kesejahteraan ummah,” katanya.
Anwar kini berada di Rusia dalam lawatan kerja selama dua termasuk menghadiri Forum Ekonomi Timur Ke-9 (EEF) di Vladivostok iaitu lawatan pertama Perdana Menteri ke negara itu sejak menyandang jawatan pada November 2022. – MalaysiaGazette