Gambar : Facebook Trafik Kuantan

KUANTAN – Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Beserah, di sini petang tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu, kejadian yang berlaku di hadapan Stesen Minyak Petronas Balok itu membabitkan motosikal jenis Yamaha 135 LC dengan sebuah Ford Raptor.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 3.09 petang.

“Siasatan awal yang dijalankan ditempat kejadian mendapati, pemandu Ford Raptor dari arah Jalan Beserah hendak menghala ke Jalan Masjid.

“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika dia sedang membelok untuk masuk ke simpang kanan, tiba-tiba datang motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan jalan utama telah melanggar pacuan empat roda itu di bahagian hadapan sebelah kiri,”katanya dalam kenyataan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu

Akibat kemalangan tersebut, mangsa, Mohd Suhazli bin Omar, 37 yang beralamat di Felda Keratong 7, Muadzam Shah telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Tambah Wan Mohd Zahari, hasil siasatan awal turut mendapati kemalangan berpunca akibat kecuaian pemandu pacuan empat roda yang berusia 50 tahun itu kerana dipercayai telah masuk ke simpang kanan tanpa memastikan keadaan selamat di jalan utama terlebih dahulu.

Katanya pemandu Ford Raptor itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan hasil ujian saringan air kencing dan SD 2 didapati negatif.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) siasatan siasatan lanjut. – MalaysiaGazette