Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam hadir untuk keputusan rayuan pihak pendakwa berhubung keputusan melepaskan dan membebaskan atas pertuduhan menyebarkan berita palsu kematian seorang pegawai Polis akibat vaksin Covid-19, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 4 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini yang melepas dan membebaskan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam daripada pertuduhan menyebarkan berita palsu di laman Facebook miliknya berhubung kematian seorang pegawai polis akibat vaksin pada 2021.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Badius Zaman Ahmad kepada Mahkamah Tinggi, hari ini.

“Pihak kami menerima arahan untuk tarik balik rayuan terhadap responden,” katanya di depan Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Hakim kemudian membenarkan penarikan semula tersebut.

Terdahulu, Lokman hadir ke mahkamah bersama peguamnya, Logen Eskander.

Pada 23 Jun tahun lalu, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Lokman daripada pertuduhan menyebarkan berita palsu di Facebook miliknya berhubung kematian seorang pegawai polis akibat vaksin pada 2021.

Menurut Hakim Nor Hasniah Ab Razak, keputusan dibuat selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes yang dihadapi Lokman, 50, di bawah Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021, di akhir kes pendakwaan.-MalaysiaGazette