KUANTAN – Sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang akan mula disiarkan secara langsung untuk orang awam buat pertama kali bermula esok, kata Timbalan Speaker DUN Pahang, Lee Chin Chen.
Menurut beliau, langkah itu merupakan satu kemajuan besar dalam usaha mereformasi DUN Pahang dan merupakan pencapaian penting hasil kerjasama kerajaan perpaduan.
“Keputusan ini menandakan langkah penting dalam meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti DUN Pahang, sekaligus memastikan orang ramai dapat memantau perbincangan serta proses membuat keputusan secara langsung.
“Ini juga akan membolehkan rakyat menyaksikan sendiri setiap perbahasan yang melibatkan dasar dan isu-isu penting di negeri Pahang,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Lee berkata, sejak penubuhannya pada tahun 1959, ia tidak pernah dilakukan, namun Kerajaan Perpaduan kini berjaya mengambil langkah proaktif bagi merealisasikan siaran langsung perbahasan seiring perkembangan teknologi dan era digital yang semakin pesat.
Jelas ADUN Bilut itu lagi, siaran langsung tersebut bukan sahaja menyediakan platform untuk rakyat menilai sendiri prestasi wakil rakyat mereka, malah ia juga diharap dapat membina kepercayaan yang lebih kukuh terhadap institusi kerajaan negeri.
Beliau turut menjelaskan bahawa siaran langsung itu akan disiarkan melalui akaun Facebook rasmi ‘Dewan Negeri Pahang’ dan mengalu-alukan semua rakyat Pahang menonton siaran langsung bersejarah itu esok. – MalaysiaGazette