Pensyarah Kanan Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung.

KUALA LUMPUR – Pas masih memerlukan kerjasama dengan parti tempatan untuk menarik sokongan pengundi sekiranya mahu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Pemerhati politik, Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, kekuatan ahli akar umbi Pas semata-mata tidak mampu memberi kemenangan mutlak kepada calon mereka meskipun terdapat trend peningkatan terhadap parti itu atau Perikatan Nasional (PN) di Sabah terutama daripada golongan muda.

Sehubungan itu, jelas Pensyarah Kanan Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkenaan, Pas perlu memperkukuhkan terlebih dahulu kerjasama parti itu dengan sekutunya dalam PN khususnya dalam kalangan parti-parti lokal.

“Tidak ada masalah untuk Pas bertanding pada PRN Sabah seperti ketika pilihan raya sebelum-sebelum ini, tetapi parti itu perlu menjalin kerjasama dengan perikatan atau pakatan politik tertentu.

“Ini disebabkan hanya ada kerusi-kerusi tertentu yang boleh diberi tumpuan oleh Pas, jadi bagi kerusi-kerusi di kawasan lain, mereka boleh menggerakkan penyokong untuk memenangkan calon parti dalam PN,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Sebelum ini, parti sekutu PN di Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP), menggesa supaya PN tidak bertanding pada PRN Sabah akan datang.

Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee berkata, ia selaras dengan pendirian parti itu yang mahu parti dari Semenanjung tidak bertanding pada pilihan raya negeri tersebut.

Kenyataan Teck Lee itu menyusul ekoran kenyataan Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang memberi bayangan Pas akan meletakkan calon pada PRN Sabah kelak dan keputusan mengenainya akan ditentukan pucuk pimpinan PN, bukannya oleh SAPP.

Dalam pada itu, Kok Tiung berkata, Abdul Hadi tidak boleh hanya menjadikan peningkatan sokongan generasi muda Sabah terhadap Pas atau PN ketika ini sebagai kayu ukur kekuatan parti tersebut untuk bertanding bersendirian pada PRN tersebut.

Ini kerana, ujar beliau, peningkatan sokongan generasi muda itu turut berlaku kepada parti-parti lokal yang semakin prihatin dengan realiti politik semasa. – MalaysiaGazette