Penjelasan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menerusi aplikasi sosial X beliau hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sabah tidak pernah membuat sebarang komitmen kewangan bagi penganjuran Sukan SEA 2027 seperti diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, baru-baru ini.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri itu juga belum bersedia menjadi hos bersama (co-host) kepada kejohanan tersebut kerana kemudahan-kemudahan sukan di Sabah masih perlu dipertingkatkan.

“Mesyuarat Kabinet Kerajaan Sabah hari ini mengesahkan tidak pernah membuat sebarang komitment kewangan bagi penganjuran Sukan SEA 2027.

“Kerajaan Sabah juga belum bersedia menjadi “co-host” kerana kemudahan-kemudahan sukan di Sabah masih perlu dipertingkatkan,” katanya menerusi laman sosial X hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kenyataan Hannah Yeoh yang mana tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang bersetuju untuk menjadi hos bersama-sama Kuala Lumpur, bagi penganjuran Sukan SEA 2027.

Menurut Hannah, ketiga-tiga negeri itu turut bersetuju untuk mengeluarkan kos dengan nilai keseluruhan penganjuran dianggarkan berjumlah RM700 juta.

“Anggaran ini berdasarkan kos sewaktu kita anjurkan Sukan SEA 2017. Malah kali ini juga kita terima peruntukan yang ia dibiayai kerajaan negeri, jadi kerajaan Persekutuan tak tanggung banyak jadi sebab itu kabinet bersetuju anjur Sukan SEA.

“Sarawak bersetuju untuk menampung dalam 50 peratus kos penganjuran iaitu melebihi RM300 juta, Sabah RM100 juta dan Pulau Pinang RM15 juta,” katanya kepada pemberita selepas sesi peka Tenaga Malaysia Energy Literacy Programme (MELP) bersama penggiat industri sukan di Majlis Sukan Negara, di sini, Rabu lalu.

Susulan pengumuman Hannah Yeoh tersebut, UMNO Sabah menuntut penjelasan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin berkenaan status dana yang akan digunakan.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Suhaimi Nasir berkata, penjelasan itu penting memandangkan ia akan menggunakan wang rakyat Sabah sekali gus mereka perlu mengetahui ke mana wang itu dibelanjakan. – MalaysiaGazette