Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menggeledah pejabat kerajaan dan YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL Communications) yang terletak di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut sumber, tindakan itu bagi menyiasat kes tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pelajaran Malaysia bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications pada 2011..

“Hasil penggeledahan tersebut, sejumlah dokumen telah disita dan SPRM sedang mengkaji bagi mengenal pasti saksi-saksi yang akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Siasatan menjurus kepada mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu melibatkan pembayaran lebih kurang RM2.7 bilion,” katanya.

Sumber berkata, fokus siasatan SPRM juga adalah menjurus kepada elemen jenayah lain yang tertakluk di bawah Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan kes disiasat di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau turut menyeru semua pihak agar memberi ruang dan masa kepada SPRM bagi melaksanakan siasatan tanpa sebarang gangguan.- MalaysiaGazette