MELAKA – Bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah yang berusia 100 tahun di Banda Hilir tidak akan dijual sebaliknya dijadikan Muzium Polis selepas IPD itu berpindah ke bangunan sementaranya bermula Isnin depan.
Exco Melaka Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia sekali gus menepis fitnah tular kononnya Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan menjual bangunan bekas pentadbiran kerajaan British ditu kepada tauke Cina.
“Tuduhan itu sangat dangkal dan saya nak tanya Cina mana nak jual (beli) IPD ini?. Tanah itu pun milikn JKPTG (Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian) bukan milik kerajaan negeri pun.
“Malah sebelum isu ini tular lagi, kerajaan negeri melalui Mesyuarat Exco kita dah putuskan bangunan (IPD) asal itu jika kosong kita nak ubah suai buat Muzium Polis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Ab Rauf yang meluangkan masa lebih 30 minit meninjau kerja-kerja pembaikan Bangunan Wisma Amanah Batu Berendam setinggi lapan tingkat yang akan dijadikan bangunan sementara IPD Melaka Tengah.
Mengulas lanjut Dr Akmal berkata bermula Isnin depan, pegawai dan anggota dari IPD Melaka Tengah di Banda Hilir akan berpindah secara berperingkat ke bangunan sementara itu yang mampu memuatkan 1,000 anggota.
“Bangunan ini lebih selesa berbanding IPD lama dan ini membuktikan kerajaan kita tidak zalim terhadap anggota polis.
“Saya nak ingatkan kepada mana-mana pihak kalau nak buat tuduhan itu kenalah bertanggungjawab dan bukannya menimbulkan kekeliruan terhadap rakyat,” katanya.
Terdahulu tular dakwaan kononnya daripada warga IPD Melaka Tengah dihalau dari bangunan berusia 100 tahun itu dan dipindahkan ke Wisma Amanah yang tiada Sijil Kesempurnaan Menduduki (CF) serta tidak dilengkapi kemudahan lain.
Penularan itu turut mengaitkan kononya bangunan lama IPD berkenaan akan dijual kepada tauke Cina. – MalaysiaGazette