Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Umat Islam tidak wajar dihidangkan dengan kisah dongeng dan andaian atas nama mengangkat kehebatan bangsa Melayu.

Apatah lagi, kata Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, kisah itu menyentuh mengenai nasab yang jelas melibatkan isteri Rasulullah SAW yang mahu diselewengkan dan didustakan kononnya berketurunan Melayu.

Lebih malang, tambahnya, ada yang percaya kepada kisah dongeng itu kerana teruja dengan maklumat yang kononnya baharu bagi mereka.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohd. Khairuddin berkata, nasab isteri Rasulullah SAW, Sayidatina Khadijah RA adalah sangat jelas daripada keturunan Arab.

“(Keturunan itu) sama ada menerusi bapa atau ibunya kedua-duanya sampai kepada Adnan daripada zuriat Ismail Alaihissalam. Beliau bertemu nasab dengan Nabi (SAW) pada moyang mereka iaitu Qusay bin Kilab.

“Semuanya masyhur tercatat dalam karya-karya nasab yang dikarang oleh para ulamak,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau.

Sebelum ini, tular video seorang pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Solehah Yaacob yang didakwa mengaitkan Sayidatina Khadijah RA berkemungkinan berasal dari alam Melayu.

Bagaimanapun selepas video itu mencetuskan kontroversi, Solehah menerusi laman sosial Facebook mendakwa, beliau tidak pernah menyebut Khadijah berasal dari Tanah Melayu.

Sebaliknya, ujar beliau, video ‘Khadijah al-Khuwailid adalah dari alam Melayu’ itu dibuat oleh individu yang memotong sebahagian daripada video ceramahnya.

Ekoran isu itu juga, UIAM dalam kenyataan memaklumkan sudah mengambi tindakan sewajarnya terhadap seorang pensyarah Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan AbdulHamid AbuSulayman yang dilihat menyebabkan kekeliruan umum di media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast