KUALA LUMPUR – Isu-isu berkaitan perlembagaan yang dibangkitkan dapat dielakkan jika masyarakat Malaysia faham akan tiga konsep asas yang menjadi tulang belakang perlembagaan iaitu kontrak sosial, konvensyen Perlembagaan dan diskriminasi perlindungan.
Timbalan Menteri Perpaduan, Senator K. Saraswathy berkata, tanpa memasyarakatkan Perlembagaan Persekutuan, rakyat tidak dapat memahami kerangka yang terbentuk dalam perlembagaan.
“Isu-isu sensitif ini sering dibangkitkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan terjadi terutamanya pada musim pilhan raya.
“Mereka tahu bahawa perkara tersebut tidak akan berlaku tetapi mereka cuba membangkitkan isu tersebut untuk meraih sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Dialog : Memasyarakatkan Perlembagaan Persekutuan Bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 di Muzium Negara, di sini, hari ini.
Sementara itu, Saraswathy berlata, program dialog anjuran Kementerian Perpaduan Negara dan Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Gabungan Pertubuhan Cina (Huazong) dan Gabungan NGO-NGO India Malaysia (I-25) itu merupakan satu inisiatif bagi memberi pendedahan yang komprehensif mengenai Perlembagaan Persekutuan.
“Ini adalah kali ketiga sambutan Bulan Kebangsaan diraikan bersama dengan KPN, dan bagi diri saya program sebegini adalah satu inisiatif yang sangat baik.
“Ini kerana anjuran program ini dapat memberikan satu peluang kepada rakyat Malaysia untuk memahami dengan lebih lanjut sejarah dan justifikasi beberapa peruntukan dalam perlembagaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette