Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sepatutnya menggesa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bercuti berbanding mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada berbuat demikian.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, ia bagi membolehkan Muhyiddin memberi tumpuan kepada kes pendakwaan beliau di mahkamah ketika ini yang menyentuh mengenai isu 3R (agama, kaum dan raja).

“Mungkin Tuan Ibrahim lupa atau pura-pura tak nampak. Ibarat peribahasa semut seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.

“Elok lah desak pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin bercuti dan fokus selesaikan kes rasuah beliau di mahkamah dan terbaru didakwa dibawah akta hasutan apabila menghina kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau.

Nurul Amal membidas kenyataan Tuan Ibrahim sebelum ini yang berpendapat, Ahmad Zahid perlu diberikan cuti bagi memberi laluan kepada siasatan bebas terhadapnya sehingga selesai.

Memetik laporan media, Tuan Ibrahim berkata, beliau mengalu-alukan sikap terbuka Ahmad Zahid untuk disiasat berhubung dakwaan terdapat unsur memperdaya Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika mengemukakan Akuan Berkanun (SD) bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kubang Kerian menambah, beliau berasakan tidak mungkin seseorang dapat disiasat sepenuhnya ketika masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Hujung bulan lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Gua Musang, Kelantan atas pertuduhan berhubung isu berkaitan 3R ketika menyampaikan ceramah pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.

Muhyiddin membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri.

Dalam pada itu, Nurul Amal berpandangan Tuan Ibrahim merupakan individu paling layak menggantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN ekoran kes mahkamah yang sedang dihadapi bekas Perdana Menteri berkenaan.

Ujarnya, ia berikutan parti Pas merupakan `abang besar’ dalam gabungan PN ketika ini. – MalaysiaGazette