Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan ajlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Pahang kepada pelajar Yayasan Pahang di Dewan Block C, Wisma Sri Pahang hari ini

KUANTAN- Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyangkal tafsiran pembangkang berikutan kewujudan Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan yang baharu sahaja mengangkat jumpah jawatan berkenaan hari ini.

Sebaliknya katanya lantikan itu dilihat daripada keperluan berdasarkan sudut geografi keluasan negeri ini yang luas dan besar memerlukan lebih pemantauan oleh kerajaan negeri untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini.

Wan Rosdy Wan Ismail

Jelasnya fungsi Adun Lantikan itu bagi menerangkan dasar kerajaan negeri kepada rakyat selain perlu melihat permasalahan rakyat walaupun Adun Lantikan tidak mempunyai kawasan yang khusus.

“Kalau pembangkang cakap dari sudut politik itu hak dan tafsiran mereka, tetapi ia adalah tidak benar sama sekali. Mereka kan pembangkang.

“Namun, kita sebagai kerajaan yang bertanggungjawab melihat ia dari sudut membantu rakyat.

“Adun Lantikan tidak ada kawasan dan tetapi mereka boleh melihat kawasan di seluruh Pahang serta salur maklumat terus kepada saya apabila diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Pahang kepada pelajar Yayasan Pahang di Dewan Block C, Wisma Sri Pahang hari ini.

Terdahulu Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini, menyaksikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan mengangkat sumpah sekali gus mencatat sejarah tersendiri.

Mereka adalah pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan Pekan, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri; Ketua MCA Bahagian Temerloh, Datuk Wong Tat Chee; Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah; Pengerusi AMANAH Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Timbalan Pengerusi PKR Pahang, Rizal Jamin. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan :

Lima ADUN lantikan Pahang angkat sumpah

Pertindihan jawatan ADUN lantikan dan Penyelaras DUN hanya persepsi – Wan Rosdy

Lima ADUN Lantikan Pahang tak berfungsi, dakwa Jasri