Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap dua anak perempuannya sejak tujuh tahun lalu.

ALOR GAJAH – Seorang bapa tiga anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap dua anak perempuannya sejak tujuh tahun lalu.

Tertuduh berusia 39 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syazana Abd Lajis sebaik sembilan pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan rogol, tertuduh dengan sengaja telah melakukan kesalahan sumbang mahram ke atas dua anak kandungnya berusia 13 dan 16 tahun dalam dua kejadian berasingan.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan melakukan hubungan seks dengan objek terhadap dua anak perempuannya itu ketika berusia 12 dan 16 tahun dengan cara memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa.

Sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun sehingga 30 tahun serta sebatan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan.

Bapa kepada tiga anak itu juga berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual dengan cara meraba dan menghisap payudara mangsa sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara selama 20 tahun dan juga sebatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Tertuduh yang dilihat bersahaja ketika prosiding didakwa melakukan kelucahan melampau dengan cara memasukkan kemaluannya ke dalam mulut anaknya ketika berusia 13 tahun yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 377E kanun sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang daripada tiga tahun sehingga 15 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.

Semua perbuatan itu didakwa berlaku di rumahnya di Kampung Panchor, Durian Tunggal antara pertengahan November 2018 dan pertengahan Ogos 2024.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan.

Hakim Syazana kemudian menetapkan jaminan RM108,000 oleh seorang penjamin warganegara bagi kesemua sembilan pertuduhan.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan tidak mendekati mangsa sehingga kes selesai, perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 9 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette