Giorgio Pompili Rossi

KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan bahawa bekas Delegasi LaLiga di Malaysia, Giorgio Pompili Rossi dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL yang baharu.

Pelantikan Pompili Rossi itu menggantikan Datuk Stuart Ramalingam yang telah tamat kontrak bersama MFL selaku CEO pada 31 Ogos lalu.

Keputusan pelantikan tersebut telah dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL menerusi satu mesyuarat pada 4 September lalu sekali gus menyaksikan Pompili Rossi adalah individu dari luar negara yang pertama dilantik sebagai CEO MFL.

Menurut Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, keputusan melantik Pompili Rossi dibuat berdasarkan pengalaman yang ada pada beliau dalam industri bola sepak sejak 2013 sehingga kini.

Beliau memulakan kerjayanya pada tahun 2013 dengan menyertai agensi komersial Kelab Serie A dan meneruskan tugas di Sepanyol bersama Valencia CF sebelum menyertai LaLiga pada tahun 2017.

Pompili Rossi hadir di Malaysia sebagai Delegasi LaLiga pada tahun 2017 sehingga 2021 di mana beliau memainkan peranan penting dalam membangunkan jenama liga Sepanyol dan mempromosikan kelab-kelab Sepanyol di kalangan peminat bola sepak di negara ini.

Selepas itu, Pompili Rossi melebarkan sayapnya sebagai Delegasi LaLiga Thailand yang berpangkalan di Bangkok sejak 2021 serta turut menjalankan operasi di Laos, Kemboja dan Myanmar sehingga kini sebelum dilantik selaku CEO MFL.

“Kami di MFL mengalu-alukan kedatangan Pompili Rossi dan menaruh kepercayaan dengan kebolehan serta kepakaran beliau untuk menjalankan tugas selaku CEO yang baharu di sini.

“Beliau akan memulakan tugas apabila selesai urusan proses mendapatkan visa dalam masa terdekat ini.

“Pengalaman dan pengetahuan Pompili Rossi tentang bola sepak Malaysia dan rantau ini diharapkan dapat membantu dalam menguruskan operasi MFL khususnya daripada aspek pertandingan dan komersial Liga Malaysia,” kata Ab Ghani dalam satu kenyataan di Facebook MFL di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut memberikan penghargaan kepada Stuart atas sumbangannya selama tiga tahun berkhidmat menerajui sekretariat MFL.

Katanya, komitmen tinggi yang telah ditunjukkan oleh bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu membolehkan MFL berjaya melakukan banyak perubahan khususnya dalam penstrukturan semula Liga Malaysia, penggunaan VAR serta peningkatan nilai komersial Liga Malaysia. – MalaysiaGazette